بسم الله الرحمن الرحيم
Keringat memenuhi lapisan luar kulit. Kehangatan musim panas di bumi Anbiaa sangat berbeda dengan di Malaysia. Terik pancaran mentari di tambah pula dengan bahang angin yang bertiup menjadikan seluruh anggota sentiasa bermandikan peluh.Peluhnya air sahaja tanpa sodium chloride dek kerna cuaca dan kelembapannya yang lebih kering berbanding di tanah air sana.
Sering sahaja bibir ini ringan melafazkan “panasnya...panasnya...tak suka panas”.Astaghfirullah ! Lupa sudah pada kebaikan panas pada kita bila yang perit lagi di lihat. Tanpa kepanasan,masakan baju di jemuran boleh kering,tanaman dapat hidup subur, badan dapat mengawal kadar air dalam badan,cahaya mentari menjadi penyuluh dalam kemudahan melakukan kerja di siang hari dan pelbagai macam manfaatnya. Tiada satu pun ciptaan Allah itu sia-sia. Hanya penerima nikmatnya yang sering lupa menyebut ‘alhamdulillah’.
Sedang berjalan pulang ke rumah dari Pasaraya Regab Son, gelagat pemuda Arab di satu sudut hujung jalan mencuri pandangan saya. Pemuda berbadan sasa 30-an itu dengan lantang bersuara dengan pak cik tua sambil menuding-nuding jarinya ke arah pak cik tua itu. Dengan tidak semenaya,pak cik itu gagah bangun dari kerusi dan berbalah mulut dengan pemuda itu. Orang disekeliling cuba menenangkan mereka. Terdengar lantang suara pemuda yang cuba merenggangkan perbalahan itu dengan berkata “sollu ‘ala nabi !” ..
Mashallah ! Orang arab memang sinonim dengan panas baran tetapi mereka cepat ‘sejuk’ kembali. Kejadian itu benar-benar mengingatkan saya pada kisah di zaman Rasulallah yang dikongsi oleh sahabat saya melalui emel yang cukup besar ibrahnya untuk di hayati dan di tanam dalam diri.
Sa'eed bin Musayyeb berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah sallallaahu `alayhi wa sallam duduk-duduk bersama dengan para Sahabat. Muncul seorang lelaki lalu dia mencela dan memaki hamun Abu Bakr radhiyallahu `anhu hingga menyebabkan Abu Bakr `sakit' mendengarnya. Tetapi Abu Bakr terus mendiamkan diri. Lelaki itu meneruskan lagi celaan dengan bahasa yang lebih kasar terhadap Abu Bakr, namun beliau masih terus mendiamkan diri. Masuk kali ketiga, apabila lelaki itu terus menyakiti Abu Bakr dengan lisannya, Abu Bakr bingkas mahu menjawab balik.Lalu Baginda Rasulullah sallallaahu `alayhi wa sallam bangun.
Abu Bakr radhiyallaahu `anhu bertanya,” apakah engkau marah denganku wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab,” Tidak. Cuma semasa kamu mendiamkan diri, Malaikat turun dari Langit bertindak terhadap kata-kata lelaki itu. Tetapi sebaik sahaja kamu mula membalas cacian lelaki itu, Malaikat melarikan diri lalu Syaitan datang dan duduk. Aku tidak boleh duduk di tempat yang Syaitan duduk di situ." [Hadith riwayat Abu Dawud]
****
Diam bukan mengalah.
Ia cara mencari Rahmah.
Mendekatkan diri kepada Allah
Imam Abu 'Ali Ad-Daqqaq pernah mengatakan:
"Orang yang berbicara dengan kebatilan adalah syaitan yang berbicara, sedangkan orang yang diam dari kebenaran adalah syaitan yang bisu."
Gara-gara lidah, seseorang terjebak masuk ke neraka. Menjadi hamba yang rugi, sebab pahala orang yang berdosa kerana kerosakan lidah akan dihadiahkan kepada orang yang dizalimi. Gara-gara lidah yang jahat kita boleh menjadi hamba yang muflis .
Sabda Rasulullah S.A.W lagi(ertinya) :
"Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku di akhirat nanti adalah orang yang paling jelek akhlaknya, orang yang banyak bicara, orang yang bercakap dengan mulut yang dibuat-buat (mereka-reka cerita) dan orang yang sombong . "(Jami 'al-Shaghir).
Akhir kalam, berhati-hatilah wahai saudara-saudari seIslamku, semoga Allah selamatkan lidah dan jari jemari kita daripada segala fitnah di luar sana. Kata-kata itu lambang peribadi seseorang.Ambillah peluang di bulan Ramadhan ini sebagai medan melatih diri menahan nafsu amarah dan menggantikannya dengan sifat husnuzon dan berlapang dada dengan sesuatu yang berlaku. hanya keredhaanNya yang kita harapkan. Selamat mencuba!
No comments:
Post a Comment